Berikut ialah berita tentang warga asing di Sri Palma Villa yang disiarkan di MyMetro pada 1 Oktober 2011. Berita ini telah mendapat perhatian pihak polis dan pihak pengurusan SPV.
Satu operasi telah dibuat pada lewat malam tadi. Beberapa tindakan susulan juga akan diambil bagi membendung masalah ini.
Kerjasama dari semua pemilik dan penghuni amat diperlukan bagi menguatkuasa peraturan dan tindakan baru yang telah dirancang oleh pihak pengurusan yang akan diumumkan dari masa ke semasa.
-----
SEREMBAN: Gelagat warga asing yang sering mengganggu gadis tempatan menimbulkan keresahan di kalangan penghuni termasuk pelajar kolej swasta yang menyewa di Apartmen Sri Palma Villa, Mantin, dekat sini.
Malah, tindakan warga asing dilihat sering berada dalam keadaan mabuk itu dikhuatiri mengancam keselamatan kerana mereka berkemungkinan melakukan perbuatan di luar kawalan.
Seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Miza, 23, berkata dia bimbang keselamatan keluarganya berikutan warga asing yang sering berkelakuan tidak sopan dengan mengganggu gadis selain mabuk dan membuat bising di kawasan kolam renang apartmen berkenaan.
Lebih menjijikkan, warga asing terbabit sering kali dilihat membawa warga tempatan bersama mereka dan dikhuatiri berlaku perkara sumbang antara mereka.
“Bukan itu saja, malah ramai di kalangan wanita tempatan termasuk gadis sanggup menjadi teman wanita warga asing itu.
“Justeru, saya berharap pihak terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya dapat mengurangkan masalah sosial di kawasan ini,” katanya.
Bagi penghuni yang mahu dikenali sebagai Ummi, 30-an, dia berasa tidak selesa dengan keadaan di apartmen itu yang dianggap tidak menjamin keselamatan penghuni walaupun mempunyai pondok keselamatan.
“Keistimewaan kami sebagai penghuni sepatutnya berada dalam keadaan yang selamat kerana mempunyai pengawal keselamatan namun peranan pengawal tidak begitu ketat dengan membenarkan sesiapa saja memasuki kawasan ini,” katanya.
sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bimbangsikapbiadabwargaasing/Article/index_html
No comments:
Post a Comment